Gambar-gambar menarik Piala Malaysia : Kelantan Vs ATM
SHAH ALAM - Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas, menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.
Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan
kata-kata pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus
pasukan kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga
penghujung perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.
Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd.
Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas
mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah
kanan pintu gol.
Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam
penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain
berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak
negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali
sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.
Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima
minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak meneruskan
perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan
namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk
daripada terjadi.
Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun
dibarisi pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno
Martelotto apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.
Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang
mempamerkan rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat
percubaan tepat dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit
ke-44.
Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo
yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai
jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu
masa untuk ditamatkan.
Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai
percaturannya tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya
menunggu masa selama empat minit sebaik permainan bermula untuk
menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil sepakan leret dari
jarak 25 meter.
Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila
Norshahrul sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi
serangan balas pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan
sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.
Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri
pintu gol Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam
gawang bagi gol penyamaan ATM pada minit ke-62.
Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.
Comments
Post a Comment