Misteri Tentera Berjubah Putih di GAZA




KIBARAN kali pertama bendera Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat 30 November lalu menjadi detik bersejarah buat lebih 4.3 juta rakyatnya. 

Kibaran yang menjadi simbolik penyertaan Palestin sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu disambut dengan air mata kegembiraan. Laungan kalimah suci 'Allahuakbar' bukan sahaja bergema di New York, tetapi lebih gamat di seluruh Palestin. 

Walaupun bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pernah bersumpah untuk membakar setiap bayi di Palestin, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat Bumi Anbiya ini daripada berjuang menentang kekejaman rejim Zionis.

Sumpah Sharon

Titik tolak daripada lafaz sumpah itu, Israel sehingga hari ini sengaja menyasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin. Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Sharon dengan menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Selain kekentalan semangat rakyat Palestin, sebenarnya ada 'kekuatan lain' yang menjadikan para mujahidin mampu menentang rejim Zionis walaupun hanya menggunakan senjata tinggalan perang.

Kisah kemunculan 'pasukan lain' yang turut bertempur, jasad para syuhada yang seharum kasturi dan beberapa peristiwa aneh sepanjang perjuangan menentang Yahudi bukan sekadar menjadi buah mulut para pejuang dan wartawan malah turut disebarkan oleh para khatib dalam khutbah Jumaat mereka. 


BANYAK kisah pelik mengiringi perjuangan rakyat Palestin mendepani rejim Yahudi yang dilengkapi persenjataan canggih.

Seragam putih

Cerita tentang kehadiran tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan. Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemu ramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berbaju putih. 

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya. 

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.
"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang. 

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut. "Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu. 

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, 'tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu'. 


KEMUSNAHAN yang dicetuskan Israel tidak pernah mematahkan semangat pejuang Palestin.

Al-Quran penyelamat

Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ. Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, kejaiban berlaku. 

Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel. Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat seorang mangsa perang.  "Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya terjumpa sebutir peluru di poket lelaki berkenaan. 

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa. "Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf itu rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam. 


Source

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat