Beratnya Pahala Sekeping Roti
Amalan bersedekah amat dituntut kerana umat Islam umpama satu tubuh. - Gambar hiasan
PADA suatu masa dahulu ada seorang ahli ibadah yang tekun mengerjakan
ibadatnya selama 70 tahun. Namun, pada suatu hari, dia didatangi
seorang wanita yang cuba menggoda si lelaki itu. Akhirnya, lelaki itu
tewas dan telah melakukan maksiat bersama wanita tersebut selama tujuh
hari.
Namun, lelaki itu sedar akan kesilapan diri dan kemudiannya bertaubat
bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki itu telah sanggup
keluar mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan dosa-dosa
maksiat yang lalu itu.
Akhirnya, beliau tiba di sebuah rumah tumpangan yang dihuni oleh 12
orang miskin. Dia ingin tumpang bermalam dan kebetulan, ada seorang kaya
yang selalu menderma 12 keping roti ke rumah itu setiap hari.
Pemberian orang kaya itu sebenarnya tidak dikhaskan kepada 12
penghuni tetap di situ tetapi diberikan kepada mana-mana insan yang
berjaya mendapatkannya terlebih dahulu.
Kedatangan lelaki itu tadi telah menyebabkan salah seorang daripada
12 orang miskin itu tadi tidak mendapat roti seperti hari-hari lain.
Lantas, si lelaki tadi terdengar salah seorang daripada orang miskin
itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana tidak mendapat bahagian
daripada pemberian orang kaya itu.
Oleh kerana terasa dirinya bersalah kerana telah mengambil hak orang
lain, maka lelaki itu telah memberi roti yang di tangannya kepada si
miskin tadi. Dek kerana terlalu lapar, tidak lama selepas itu lelaki
pengembara tadi meninggal dunia.
Lalu turunlah malaikat untuk menimbang amalannya bagi menentukan
nasibnya di alam yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh malaikat menimbang
antara amalan soleh lelaki itu tadi selama 70 tahun dan maksiat yang
dilakukannya selama tujuh hari.
Malangnya, amalan soleh 70 tahun lelaki itu lebih ringan berbanding dosa maksiat yang dilakukan sesingkat tujuh hari.
Ini menandakan lelaki itu bakal diazab, maka malaikat mencari-cari
mana-mana amalan lain yang dapat menyelamatkan lelaki tadi daripada
diazab Allah SWT.
Lalu tertulis di dalam kitab amalannya bahawa dia pernah bersedekah
sekeping roti kepada seorang miskin di saat dia juga di dalam kelaparan.
Maka Allah menyuruh malaikat menimbang ganjaran memberi roti kecil itu
dengan dosa berbuat maksiat selama tujuh hari oleh lelaki tersebut.
Subhanallah, rupa-rupanya perbuatan yang dikira kecil iaitu memberi
sekeping roti, sebenarnya lebih besar ganjarannya hingga mampu
menewaskan dosa maksiat selama seminggu! Lalu lelaki itu tadi mendapat
pengampunan daripada Allah SWT dan beroleh syurga-Nya.
Jelaslah di sini bukti kasih sayang Allah tanpa batasan kepada siapa
sahaja yang dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula kisah ini,
pengajarannya bahawa amalan yang dilakukan demi kesenangan orang lain
lebih besar ganjarannya berbanding amalan yang tekun didirikan hanya
untuk kesenangan diri sendiri.
Hakikatnya, kasih sayang Allah cukup tinggi kepada kita, walaupun
seorang hamba itu kembali kepada-Nya dengan membawa dosa sebesar gunung
sekalipun, selagi kita tidak menyekutukan Allah SWT, ada ruangan
pengampunan.
Ayuh! berdoalah kepada-Nya dan luahkan kecintaan kepada-Nya kerana
Dia iaitu Allah SWT sentiasa menanti dan mendengar doa hamba-Nya.
Firman Allah SWT: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku... (al-Baqarah: 186)
BK BARU BACA KAT fb kwn BK
ReplyDeleteThanks BK...
Delete