Internet percuma mulai bulan depan
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan internet percuma selama 30 minit sehari
dijangka dilaksanakan April ini dan bakal dinikmati kira-kita lima juta
rakyat Malaysia.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
berkata, mereka yang akan mendapat faedah itu, termasuk golongan yang
berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 bagi setiap isi rumah atau
mengikut kelayakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Khidmat internet akan diberi percuma kepada rakyat miskin dan
pendapatan mengikut (kelayakan) skim BR1M. Percuma setengah jam pertama
bagi kepentingan keluarga, diri sendiri dan perniagaan.
"Ia akan melibatkan semua yang berhak menerima BR1M, kita mulakan di paras itu.
Pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah bagi satu keluarga dianggap boleh menerima BR1M.
Sebab itu kita akan gunakan penahapan itu untuk timbang kelayakan (untuk terima internet percuma). Kita tak akan sekat kalau ada yang lebih miskin. Kita akan buat kaji selidik yang lebih rapi," katanya.
Sebab itu kita akan gunakan penahapan itu untuk timbang kelayakan (untuk terima internet percuma). Kita tak akan sekat kalau ada yang lebih miskin. Kita akan buat kaji selidik yang lebih rapi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Ramah Mesra Warga Telekom Malaysia (TM) dengan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak di Menara TM, hari ini.
Najib hari ini mengumumkan perkhidmatan internet percuma bagi setengah
jam pertama kepada rakyat miskin di bandar dan luar bandar, dengan
butiran lanjut akan dikemukakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi
dan Kebudayaan.
Rais berkata, kementerian akan berbincang dengan syarikat-syarikat
telekomunikasi supaya perkara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Kami diberitahu yang April ialah masa yang sesuai jadi kami akan cuba
berusaha melaksanakannya dalam tempoh itu. Kami mungkin berdepan sedikit
masalah mekanikal tapi kami harap dapat laksanakan pada April,"
katanya.
Beliau memaklumkan program itu akan digerakkan oleh Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan mesyuarat penyelarasan
akan diadakan minggu depan.
"Kami akan adakan perbincangan. Ia harus bergantung kepada keperluan
asas seseorang itu. Kami akan gariskan perkhidmatan-perkhidmatannya
serta mekanisme dan pada minggu depan diharapkan kami dapat rumuskan
perkara perkara yang benar-benar jelas, terkini mengikut peraturan dan
ketetapan sedia ada," katanya.
Rais berkata, kementerian akan turut melihat kepada lebih 4,000 kampung
tanpa wayar dan pusat-pusat internet milik TM dalam melaksanakan
program berkenaan.
Beliau turut menjangkakan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pertama pelaksanaan program itu kelak. - Bernama
Comments
Post a Comment