Lebih 30% Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi
KUALA LUMPUR: Kira-kira 32.7 peratus rakyat
Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit darah
tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ini dikesan melalui kajian rintis mengenai pengambilan
garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis
air kencing selama 24 jam pada tahun lepas.
"Kandungan purata pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7
gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari.
"Dalam kajian yang sama, didapati sos kicap soya merupakan makanan
utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki
merupakan golongan yang mengambil lebih banyak garam berbanding
wanita," katanya dalam perutusan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia
2013.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melaksanakan langkah
pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin
dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg
atau kurang.
"Selain itu, hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu
paras sudu teh sehari semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja
makan. "Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk
menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa
yang lain," katanya.
Liow juga menyeru orang ramai supaya mengambil dua sajian buah-buahan
dan tiga sajian sayur-sayuran sehari, amalkan aktiviti fizikal atau
senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat melalui penanganan stres,
tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.
Katanya pengambilan garam secara berlebihan boleh meningkatkan
tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian penyakit darah tinggi. "Pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan tekanan darah dan
kejadian strok serta penyakit jantung," katanya. Kempen Minggu
Kesedaran Garam Sedunia ke-6 yang akan berlangsung pada 11 hingga 17
Mac, ditujukan khusus kepada industri makanan, katering, pengusaha atau
pengendali makanan (chef) dan tukang masak di restoran dengan tema "
Less Salt Please" (Kurangkan Garam).
Kata Liow, pihak kementerian sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk Malaysia. "Antaranya sebanyak 16 item makanan yang mempunyai kandungan garam
yang tinggi iaitu daripada kategori biskut, kicap, mi segera, makanan
ringan dan daging beku telah diturunkan kandungan garamnya sebanyak dua
hingga 40 peratus daripada tahap asal sejak tahun 2011 hingga 2012,"
katanya. -BERNAMA
Kat rumah ni memang ada digital blood pressure tuk kemudahan bersama.... maklum le umur meningkat kertu ni hehe
ReplyDelete