Haram Berpuasa Di Bulan Syaaban?


Manfaatkan Syaaban sebagai pemangkin ibadah sebelum tiba Ramadan. - Gambar hiasan 


HARI ini kita telah memasuki bulan Syaaban. Tidak beberapa lama lagi Ramadan segera menyusul.Bulan Syaaban sangat baik untuk kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan. Mulakanlah membiasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti tahajud, baca al-Quran dan juga puasa sunat.

Siti Aisyah bercerita: Tidaklah Nabi SAW memperbanyakkan puasa dalam satu bulan melainkan pada bulan Syaaban. Baginda berpuasa satu bulan penuh. (riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW pernah ditanya: "Mengapa tuan memperbanyak puasa di bulan Syaaban?" Baginda menjawab: "Pada bulan itu, amalan manusia diangkat untuk dipersembahkan kepada Allah. Aku ingin agar diangkat amalanku dalam keadaan berpuasa." (riwayat abu Dawud)

Qada puasa

Bagi sesiapa yang masih berhutang puasa, eloklah buat qada puasa itu pada bulan ini. Terutamanya pagi kaum perempuan yang tidak boleh menyempurnakan puasa Ramadan tahun lepas kerana haid ataupun atas sebab-sebab lain.

Siti Aisyah menceritakan bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW selalu mengqadakan puasa Ramadan di bulan Syaaban. Mereka seringkali tidak mampu melakukanya di bulan-bulan yang lain kerana kesibukan mereka melayani Rasulullah SAW.

Menurut Ibnu Hajar, hadis ini menjadi dalil keharusan menunda qada puasa sehingga bulan Syaaban. Namun begitu, perkara ini tidak boleh ditunda lagi hingga Syaaban berakhir dan berjumpa dengan Ramadan yang baru.

Dalam mazhab Syafii, sesiapa yang menunda membayar qada puasa hingga tiba Ramadan yang baru, ia diwajibkan membayar fidyah. Iaitu satu mud (cupak) beras yang diberikan kepada fakir miskin untuk satu hari yang wajib ia qada puasanya.

Selain membayar fidyah, ia masih tetap wajib mengqadakan puasa tersebut. Kerana fidyah tidak menggugurkan kewajipan qada. Ia hanya sebagai denda atas menunda qada puasa sehingga berlalu satu tahun penuh.

Tengah Syaaban

Ramai yang bertanya hukum berpuasa sunat setelah masuk minggu kedua bulan Syaaban. Sebuah hadis menyatakan: "Apabila telah masuk pertengahan Syaaban, maka janganlah engkau berpuasa." (riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Ahli hadis berbeza pandangan tentang kesahihan hadis ini. Imam Ahmad melemahkannya dan menilainya mungkar. Namun al-Tirmizi dan lain-lain mensahihkannya. Bagi ulama yang mensahihkannya, maka mereka berpendapat haram hukumnya memulakan puasa setelah pertengahan bulan Syaaban, yakni 16 Syaaban dan seterusnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Syafii.
 
Bagaimanapun, larangan ini tidak meliputi sesiapa yang telah berpuasa sejak awal bulan Syaaban lalu meneruskannya hingga ke pertengahan bulan ini. Sebab larangan hanya untuk orang yang baru memulakan puasa setelah berlalu pertengahan bulan Syaaban. Larangan ini juga tidak meliputi puasa pada 15 Syaaban. Berpuasa pada hari ini diharuskan sebab ia termasuk hari-hari putih yang sunat berpuasa padanya setiap bulan.
 
Bagi ulama yang melemahkan hadis ini, tentu sahaja mereka tidak mengamalkan kandungannya. Bagi mereka, tidak ada larangan untuk berpuasa pada pertengahan Syaaban. Sama ada ia telah memulainya sejak awal bulan ataupun tidak. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali.

Akhir kata, manfaat Syaaban sebagai pemangkin ibadah sebelum Ramadan. Bak kata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya." Walalhu a'lam.

Comments

  1. syaaban y penuh berkat driNya.. sama2lah kita beramal mencrai redhaNya :")

    ReplyDelete
  2. wajib qada' puasa dulu, baru blh buat yg sunat... :)

    ReplyDelete
  3. In Shaa ALLAH Aisya..semoga amalan kita diberkati kan..

    Itu yang sebaiknya Maria..

    ReplyDelete
  4. Puasa ganti tak habis lagi Raudzah...so mmg esok okje nak puasa hehe Inshaallah

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat